BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, July 22, 2009

Ijtimak Tabligh Terbesar

[bb.jpg]




[10.1.JPG]




IJTIMAK (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia selama tiga hari dari 10 hingga 12 Julai lalu di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, Negeri Sembilan, mencatat sejarah tersendiri.

Ini kerana ia bukan saja menghimpunkan lebih 200,000 jemaah dari seluruh dunia, malah dianggap perhimpunan terbesar membabitkan kumpulan itu pernah diadakan di negara ini sejak 27 tahun lalu selepas di Terengganu pada 1982 membabitkan kehadiran kira-kira 50,000 orang.

Berdasarkan laporan sekretariat ijtimak itu, perhimpunan kali ini dihadiri wakil daripada 40 negara, antaranya Indonesia, Senegal, Rusia, Maghribi, Arab Saudi, Jordan, Libya, Tarjikistan, Nigeria, Jerman, Belanda, Amerika Syarikat, Thailand, Pakistan, Bangladesh, India, China, Singapura dan Hong Kong selain masyarakat setempat.

Sebanyak 20 khemah gergasi didirikan di kawasan lapang dengan setiap khemah boleh menampung antara 10,000 hingga 15,000 orang jemaah.

Bagaimanapun, ada jemaah difahamkan terpaksa menyewa hotel berhampiran kerana khemah yang disediakan tidak mampu menampung ratusan ribu jemaah.

Peniaga pula mengambil kesempatan menjalankan perniagaan menjual pelbagai barangan, termasuk makanan, pakaian, kitab agama, buku, barangan kulit dan songkok di sepanjang jalan utama memasuki kawasan perhimpunan.

Sepanjang berlangsung ijtimak itu, aktiviti yang dijalankan hanya membabitkan perbincangan, syarahan dan pengajian ilmu agama.

Antara orang kenamaan yang turut hadir pada ijtimak ini ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana Menteri diberi taklimat oleh Ahli Syura’ Tabligh Malaysia, Sheikh Muhammad Sheikh Ali di khemah tetamu dan beliau bersalam dengan ribuan jemaah yang tidak mahu melepaskan peluang menemui pemimpin nombor satu negara itu.

Ketika berucap selepas menunaikan solat Asar bersama jemaah, Najib mengalu-alukan kedatangan umat Islam dari seluruh pelosok dunia di Ijtimak itu.

“Saya mengalu-alukan kedatangan semua umat Islam ke negara ini untuk ijtimak kali ini. Semoga Allah SWT memberikan rahmat dan memberkati kita semua serta menjadikan kita ummah yang berjaya,” katanya yang turut mendengar taklimat daripada pemimpin tabligh serta ahli Syura Malaysia secara tertutup selama kira-kira 20 minit.

Sebelum itu, Muhyiddin yang meluangkan masa selama kira-kira 45 minit bersama jemaah menunaikan solat Zohor, berkata kehadirannya ingin melihat sendiri suasana perhimpunan itu.

“Ini perhimpunan tabligh sedunia yang terbesar dan saya hadir untuk melihat sendiri perjalanannya serta merasai suasananya bersama jemaah.

“Saya diberi penjelasan bahawa ijtimak ini dilangsungkan untuk membicarakan ilmu dan berkaitan agama. Ia juga bertujuan dapat menzahirkan semangat perpaduan dan memperkukuhkan dakwah Islamiah.” kata Muhyiddin.

Terdahulu, Mohamad dalam ucapan ringkasnya sebelum khutbah Jumaat, berkata beliau mengalu-alukan kehadiran jemaah tabligh ke negeri ini yang berhimpun dengan satu entiti iaitu untuk menyebarkan syiar Islam.

“Saya bagi pihak rakyat Malaysia mengucapkan selamat datang dan terima kasih. Saya bersyukur kepada Allah kerana dapat bersama jemaah Tabligh dan berharap perhimpunan ini akan dapat meneruskan dakwah Islam kepada seluruh umat.

“Perhimpunan ini adalah bukti bahawa kebebasan untuk berdakwah, tidak seperti negara lain yang tidak bebas untuk menjalankan penyebaran agama Islam,” katanya.

Rakyat asing yang menyertai ijtimak itu bersyukur perhimpunan berkenaan berlangsung dengan jayanya dan dalam suasana aman.

Hamzah Abdul Aziz, 53, dari Selatan Thailand, berkata dia sering menyertai perhimpunan seperti itu, terutama di negaranya selain utara Malaysia tetapi tidak seperti perhimpunan yang diadakan di situ kerana dianggap paling ramai.

Menurutnya, selain dapat berkenalan dengan jemaah dari pelbagai negara, dia bertemu dengan pemimpin tabligh yang lebih berpengalaman dan tinggi ilmu agamanya.

“Ini secara langsung dapat meningkatkan tahap keilmuan dalam diri dan mengukuhkan keimanan ke arah mencapai darjat kehidupan yang lebih baik.

“Sepanjang berada di sini, semua ahli hanya memberi fokus kepada usaha untuk meningkatkan ilmu dan amalan baik yang diredai Allah,” katanya.

Syamsuri Tumirin, 24, dari Jawa Timur, Indonesia pula menjelaskan, perhimpunan itu mendidik dan mengajarnya untuk menjadi seorang muslim yang memahami ajaran Islam.

“Saya tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai perhimpunan seperti ini kerana ia bukannya selalu diadakan,” katanya.

Mohamad Ibrahim, 60, dari Hebron, Palestin, dan Abdul Ghani Naghorghani, 47, dari Myanmar, sependapat mereka dapat menunaikan amal ibadat tanpa ada sekatan ketika datang ke perhimpunan itu.

“Kami berdoa agar Allah memberi rahmat kepada negara ini supaya sentiasa aman dan dilindungi setiap masa,” katanya.

Mohd Sani Khalil, 26, dari Puchong Selangor, pula menyatakan dia kali pertama terbabit dalam perhimpunan terbesar itu sejak menyertai kumpulan tabligh tiga tahun lalu.

Menurutnya, perhimpunan berkenaan amat baik kerana setiap peserta hanya memberi fokus kepada usaha untuk meningkatkan kualiti diri melalui penghayatan agama.

“Semua peserta memberi fokus kepada amalan agama bagi mencapai darjat yang tinggi di sisi Allah. Perhimpunan ini juga menyerlahkan perpaduan umat Islam walaupun mereka datang dari pelbagai negara dan bangsa.

“Semua peserta boleh berkomunikasi dan bertemu sebagai saudara sesama agama. Ia menjadi sesuatu unik dan tidak terdapat di tempat lain,” katanya yang pernah menyertai perhimpunan seumpama itu di Thailand tahun lalu tetapi membabitkan kira-kira 30,000 jemaah saja.

0 comments: